CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah

“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemuNya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingatiNya, keikhlasan yang benar kepadaNya”.

Saturday, 14 May 2011

Apa Itu Istidraj

Buat renungan kita semua umat yang diberi akal.

Di dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang manusia lebih-lebih lagi manusia muslim, Allah SWT akan menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Secara mudahnya ujian Allah SWT ke atas manusia ada dua bentuk. Yang pertama dalam bentuk nikmat dan yang kedua dalam bentuk bala.
Contoh ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat antara lain ialah pangkat, kedudukan, kuasa, kekayaan, kemewahan, sihat tubuh badan, tidak pernah sakit dan banyak lagi. Manakala ujian Allah SWT dalam bentuk bala antara lain ialah tiada pangkat dan kedudukan, tidak memiliki kuasa, kemiskinan, kemelaratan hidup, sakit, kematian ahli keluarga terdekat dan banyak lagi. Kebanyakan manusia muslim dan mukmin mampu mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk bala ini. Malangnya ramai manusia termasuk yang muslim tetapi tidak mukmin gagal mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat.
Ramai manusia yang hanyut dengan nikmat Allah SWT dan tidak sedikit pula yang menjadi riak, sombong, angkuh, takbur dan ada yang mengaku menjadi tuhan dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka. Contoh klasik yang patut di fikirkan tentang jenis manusia yang mendapat nikmat tetapi lupa kepada Allah SWT ialah Firaun, Qarun, Namrud dan banyak lagi. Mereka ini semuanya ditimpa dengan bala bencana dan kemudiannya dimusnahkan oleh Allah SWT. Tidakkah terfikir oleh kita kenapa sesudah diberikan dengan pelbagai nikmat, Allah SWT musnahkan pula mereka dan segala nikmat yang telah mereka perolehi.
Perkara inilah yang dinamakan istidraj. Pemberian nikmat oleh Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Kenapa pula terjadi beri tetapi tidak redha. Inilah satu kaedah Allah SWT berurusan dengan manusia yang tidak tahu bersyukur dan ingkar dengan perintahnya. Pelbagai nikmat telah diberikan tetapi manusia tidak beriman dan bersyukur sebaliknya menjadi betambah angkuh, sombong, bongkak , takabur dan kafir terhadap Allah SWT. Dalam hal ini tidak hairanlah jika Allah SWT beri tetapi tidak meredhainya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (dosa) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT”. (Diriwayatkan oleh: At-Tabrani, Ahmad danAl-Baihaqi)
Agak malang bagi manusia yang melakukan dosa dan maksiat ini kerana terkeliru dengan pemikirannya yang merasakan bahawa nikmat yang melimpah ruah itu tadi sebagai tanda Allah SWT bersama dan meredhai perbuatannya. Mereka dilalaikan oleh syaitan dengan nikmat itu tadi sehingga tidak terfikir bahawa nikmat yang banyak inilah yang bakal memusnahkan hidup mereka.
Sebenarnya manusia yang telah diistidraj adalah jenis manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat dosa dan maksiat masih merasakan Allah SWT amat menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang kuat beramal soleh. “Dia tu siang malam ke masjid tetapi basikalpun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadatnya tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong”. Sebenarnya nikmat yang banyak Allah SWT berikan kepadanya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.
Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah SWT menghendaki untuk membinasakan semut, maka Allah SWT terbangkan semut itu dengan dua sayapnya” Sebagai contoh perbandingan daripada hadis ini ialah bangaimana Allah SWT memusnahkan anai-anai. Anai-anai, jika tidak bersayap akan duduk diam di dalam busut, atau merayap di dalam kayu, atau di bawah batu dan di celah-celah timbunan daun kering. Bila Allah SWT berikan sayap anai-anai berubah menjadi kelkatu. Timbul sifat sombongnya bila mendapt sayap (nikmat) lalu cuba melawan api atau cahaya. Maka anai-anai tadi akan binasa dan mati. Begitu juga dengan manusia, bila dapat nikmat (kekayaan, kemewahan, pangkat, kedudukan, kuasa dan sebagainya) akan cuba melawan Allah SWT dengan cara tidak beriman dan tidak bersyukur kepadaNya. Maka manusia itu tadi dibinasakan oleh Allah SWT dengan pebagai cara dan mati.
Sebagai buktinya ialah Firaun. Tidak ada orang yang memiliki kuasa dan kedudukan yang hebat dan luar biasa melainkan Firaun. Nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya tidak terkira. Kuasanya tiada tandingan, semua orang tuduk dan patuh kepada kehendaknya, kekayaannya melimpah ruah, tidak pernah sakit, bersin pun tak pernah kerana Allah SWT berikan nikmat sihat yang luar biasa kepadanya. Allah SWT berikan semua ini kerana Allah SWT telah menistidrajkan Firaun. Firaun menjadi angkuh, sombong, bongkak dan takbur sehingga peringkat mengaku dirinya tuhan. Dalam hidupnya dia tidak pernah bersyukur. Dia melawan Allah SWT tanpa henti. Akhirnya dengan nikmat itulah Allah SWT binasakannya.

No comments:

Post a Comment