Tuesday, 9 April 2013
Bisu yang bersuara.
Terkesan dengan entri Ustaz Pahrol, saya suka untuk berkongsi disini.
Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan komunikasi jenis ini. Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinankan rasa hati. Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira ‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.
“Dah berapa kali saya nyatakan… tetapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?”
Begitu selalu kita dengar kemarahan seorang suami.
“Dah berapa kali saya cakap baik-baik abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak faham juga tak tahulah… saya bosan!”
Begitu pula luapan kekecewaan seorang isteri.
Semua kata-kata diatas menunjukkan betapa manusia sering gagal ‘mendengar’ kata-kata pasangannya.
Termenung saya memikirkan. Sebagai suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya luahkan tanpa suara. Namun, saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa terlebih dahulu memberi? Ertinya, setelah saya benar-benar ‘mendengar’, barulah saya didengari.
“Awak sedar tak banyak kemahuan saya yang awak gagal penuhi?” kata suami yang berang.
“Eh, awak kira kemahuan awak saja. Kemahuan saya? Dah berapa banyak awak penuhi? Saya tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini!” balas isteri.
Mana lagi hubungan yang paling intim dalam kehidupan ini selain hubungan antara suami dengan isterinya? Apa kemahuan suami, harap-harap dipenuhi oleh isteri. Begitulah sebaliknya. Tetapi mampukah semua kemahuan ini dipenuhi? Silapnya, kebanyakan kemahuan itu dipendamkan sahaja. Tidak diperdengarkan. Jika pun diperdengarkan akhirnya, tetapi semua telah terlewat. Sudah jadi jeritan, bukan bisikan.
Beringat-ingatlah, kita tidak mungkin menerima tanpa terlebih dahulu memberi. Justeru, marilah kita dengar dahulu apa suara hati isteri sebelum mereka mendengar suara hati kita. Saya takut, kalau-kalau kita tidak berusaha mendengar bisikan, nanti kita terpaksa mendengar jeritan. Jadi, tumpang isteri masih sudi berbisik, marilah kita dengar bisikan itu. Takut-takut bila kita tuli dengan bisikan, dia terpaksa menjerit untuk memaksa kita mendengarnya. Jadi…
Dengarlah bila isteri berbisik, “bang, dengarlah suara hati saya… sampai bila hubungan kita akan renggang begini?”
Jika tidak kita akan mendengar jeritan:“Bang, muktamad ceraikan saya!”
Mungkin ini yang dimaksudkan dengan kata-kata: Kalau cinta luahkan, kalau benci berterus-terang. Ah, tidak semudah itu. Lebih-lebih lagi dalam hubungan suami isteri, justeru sering terjadi, orang yang paling berpotensi untuk kita benci ialah orang yang pernah paling kita sayangi. Nauzubillah! Ah, agaknya kerana itulah kekadang ada yang jadi terlalu pesimis dengan perkahwinan sehingga sanggup mengatakan, perkahwinan itu adalah kuburan percintaan!
Suatu hari saya pernah saya bertanya, apakah yang diperlukan oleh isteri saya. Dia senyum. Diam. Saya jadi buntu. Niat hati, kalau dia berani menyuarakan, nanti saya tak segan-segan menyuarakan isi hati saya pula. Ini konsep, “ first seek to understand than to be understood”. Tapi sukarnya memahami hati wanita… Berbicara bukan melalui kata dan suara tetapi lebih pada lirikan mata dan lenggokan gaya. Bahasa tubuh, kata orang sekarang.
Lama saya tunggu, hari-demi hari, minggu demi minggu. Isteri masih tidak bersauara.
“Kenapa?”
“Tak kan tak tahu…”
Jawapan ‘tak kan tak tahu’ itu menyebabkan saya semakin tidak tahu.
‘Tak kan tak tahu’ menunjukkan jawapan itu ada. Dan jawapan itu terlalu dekat dan nyata. Tapi biasalah, sesuatu yang terlalu dekat biasanya sukar dilihat. Cuba kita rapatkan kedua-dua belah tangan ke mata, rapat dan lebih rapat lagi… akhirnya pandangan kita terhadapnya akan menjadi terlalu samar. Kita tidak akan nampak lagi. Ya, mungkin suara hati isteri terlalu dekat, maka kita menjadi semakin tuli untuk mendengarnya.
“Kita membina hidup atau kehidupan?”
Saya kaget sebenar. Beza antara ‘life’ dan ‘living’ terlalu besar.
“Kedua-duanya,” jawab saya.
“Tapi mana yang lebih penting?”
“Kehidupan,” jawab saya pendek.
“Apa bezanya hidup dan kehidupan?” soalnya lagi.
“Kita hidup dengan makanan, pakaian, kenderaan dan tempat tinggal. Tapi kita membina kehidupan dengan kasih-sayang, cinta dan kemesraan.”
“Jadi, isteri teman hidup atau teman kehidupan?”
Saya panik. Terasa diperangkap.
“Err… teman hidup dalam kehidupan,” saya membetulkan.
“Tahu pun!” bidasnya pantas.
“Apa mahu isterimu?” Dia bertanya lagi.
“Kasih sayang, kemesraan, pembelaan, kemaafan, keadilan…”jawab saya.
“Itulah kehidupannya. Sebaliknya apa yang kamu berikan selama ini?”
Saya jadi serba-salah.
“Hanya makanan, pakaian, kenderaan, rumah, wang… Itu semua untuk hidup, bukan untuk kehidupan,” tingkahnya sinis.
“Tapi saya juga inginkan itu semua darinya. Saya juga inginkan kehidupan bukan semata-mata hidup.”
“Ingat prinsip ini baik-baik: Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.”
“Maksudnya saya perlu memberi sebelum menerima?”
“Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi. Itu hukum kasih-sayang. Untuk orang mencintai kita, kita dahulu mesti menyintai orang. Itu hukum kasih-sayang dan cinta. Ini rukun kehidupan.”
(Begitu dialog diri saya dengan diri sendiri – monolog)
Saya terus bermonolog…
Ah, sukarnya memenuhi kegala kemahuan kerana kita sentiasa dibatasi kemampuan. Mungkin kita mahu, tapi tidak mampu. Mungkin kita mampu, tetapi tidak mahu. Ini lebih sukar. Ya, apabila difikir-fikirkan, masalah tidak mahu lebih sukar diatasi daripada tidak mampu. Ramai isteri yang tidak mahu memenuhi kemahuan suami dan begitu juga ramai suami yang tidak mahu memenuhi kemahuan isteri. Mahu bukan soal fizikal dan material tetapi soal fikiran, hati dan perasaan.
“Senyum bila berdepan dengan suami…” pesan para ulama untuk isteri.
Mampu? Siapa yang tidak mampu kalau sekadar tersenyum. Tetapi berapa ramai isteri yang mampu tersenyum di depan suami.
“Peluk isteri sekurang-kurangnya 5 kali sehari tanpa dibauri keinginan seks. Maksudnya, semata-mata melahirkan kasih sayang,” kata pakar motivasi untuk suami.
Mampu? Berapa banyak tenaga yang diperlukan untuk memeluk isteri wahai para suami? Tak banyak, tetapi berapa ramai antara kita yang mahu melakukannya.
Al hasil, semuanya kembali kepada Allah. Barangsiapa yang memenuhi keperluan-Nya akan ada kemahuan dan kemampuan untuk memenuhi keperluan sesama manusia. Jadi, jangan kemahuan kita yang didahulukan… dahulukan perintah Allah. Allah tetapkan ketaatan seorang isteri hanya untuk suaminya. Allah mahukan pembelaan seorang suami hanya untuk isteri. Itulah hakikatnya ‘kemahuan’ Allah yang sebenarnya Dia tidak mahu… kerana segala ‘kemahuan-Nya’ hanya untuk manfaat hamba-Nya. Dia Maha Kaya!
** Saya hanya mampu berdiam dan :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment